Dua tiga hari ini media-media di tanah air sibuk memaparkan berita-berita tentang pilihan raya sebuah parti politik yang tidak asing lagi bagi rakyat Malaysia. Buka sahaja website akhbar, hampir 80% berita berkisarkan tentang perjalanan dan keputusan pilihan raya yang pada waktu sekarang sudah hampir sampai ke penghujungnya. Naik bosan pun ada hehe.
Tahniah kepada calon-calon yang menang, cuba lagi kepada yang kalah. Ayat itu sentiasa kita dengar kan?
Tentu ramai pembaca-pembaca VLL ini yang pernah memegang jawatan, tak kira apa-apa jawatan, di sekolah rendah, menengah, mahupun di universiti. Dari ketua kelas hinggalah ke jawatan presiden majlis perwakilan pelajar. Bagi yang lelaki, sampai suatu masa, bersedialah untuk menjadi ketua keluarga.
Pemimpin. Beratnya perkataan ini. Berat bukan di atas neraca, tapi berat yang lain lah!

- Pemimpin
Mari kita baca hadis ini :
Rasullullah bersabda kepada Abdurrahman bin Samurah Radhiyallahu’anhu, “Wahai Abdul Rahman bin Samurah! Janganlah kamu meminta untuk menjadi pemimpin. Sesungguhnya jika kepimpinan diberikan kepada kamu kerana permintaan, maka kamu akan memikul tanggungjawab sendirian, dan jika kepimpinan itu diberikan kepada kamu bukan kerana permintaan, maka kamu akan dibantu untuk menanggungnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis ini menunjukkan kepada kita betapa berat dan besarnya tanggungjawab seorang yang bergelar pemimpin. Bahkan Gunung Everest pun akan runtuh jika memikul jawatan ini.

- Gunung Everest
Mari kita lihat realiti yang ada sekarang. Ramai manusia berebut-rebut untuk memegang jawatan, tidak kira dalam bidang politik, kerja, mahupun dalam pergaulan seharian kita. Bahkan yang sangat menyedihkan, ada di antara mereka yang sanggup mengotorkan kesucian yang patut ada pada diri seorang pemimpin Islam dengan memberi ‘cenderamata’ kepada sesiapa sahaja supaya menyokongnya. Aduhhh.
Bukan salah untuk menjadi pemimpin, bahkan pemimpin adalah satu pekerjaan yang sangat mulia. Pemimpin kita, baginda Rasulullah SAW adalah contoh pemimpin terbaik bagi semua umat manusia. Pemikir-pemikir barat pun mengiktiraf kepimpinan baginda.
Cuma perlu diingatkan, seorang pemimpin yang telah diberi kepercayaan oleh rakyat/pembuang undi hendaklah melaksanakan tugasnya seperti yang digariskan oleh Islam. Niatnya perlulah lurus, sesuai dengan apa yang Allah telah perintahkan. Dan yang paling perlu dielakkan ialah kepimpinan mengikut hawa nafsu. Itulah cabaran yang sebenar bagi seorang ketua.
Bilakah agaknya kepimpinan khalifah Islam akan mengambil alih nakhoda Bumi ini? Dengan ini, nescaya kita akan aman, InsyaAllah.