
Assalamualaikum. Saya menjawab soalan Khairy Jamaluddin di ruangan VLL ShoutBox. Sunyi tidak bermakna kami sibuk dengan pilihan raya UMNO. Cuma masa sangat mencemburui kami dengan urusan-urusan lain.
Biasalah, hidup di dunia ini, jikalau kita tidak disibukkan dengan perkara-perkara besar, kita akan disibukkan dengan perkara-perkara kecil.
Namun saya yakin, setiap penulis di VLL ini mempunyai keinginan untuk menyampaikan fikrah (kefahaman) mereka kepada sahabat-sahabat tersayang, terutama yang berada di merata bumi Perancis ini. Betul tak? \(^^)/
Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Alhamdulillah..
Marilah kita mengucapkan syukur kepada ALLAH Maha Esa, kerana kita masih hidup, dan dikurniakan pelbagai rahmat setiap detik dan waktu. Sesungguhnya rahmat ALLAH sangatlah luas. Siapalah kita di sisi ALLAH. Sungguh kerdil dan hina.
Bahkan dalam surah al-Kahfi ayat 109, ALLAH SWT menggambarkan betapa tak terdayanya manusia jika dibandingkan dengan ilmu-Nya.. Sungguh menginsafkan.
“Katakanlah, kalau sekiranya lautan menjadi tinta untuk menulis kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis ditulis kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu pula.”
Jadi, masih wajarkah jikalau ada perasaan sombong dan takbur dalam diri kita, dengan hanya secebis kelebihan yang ada? Masih patutkah kita berjalan di bumi ALLAH ini dengan angkuhnya?
Fikirkanlah sejenak wahai sahabatku sekalian.
Sekarang, saya menjemput kalian melihat sejenak video di bawah. Video yang mungkin kalian sudah biasa tengok. Tiada yang istimewa sangat. Sekadar untuk mengingati sesama kita akan kebesaran-Nya. InsyaALLAH. Silakan..
Les Miracles D’ALLAH. Dah terlalu banyak keajaiban yang kita saksikan sehingga hari ini. Kekuasaan ALLAH berada di merata-rata tempat.

Langit biru yang terbentang luas, keajaiban al-Quran yang dibuktikan ilmu sains hari ini, kitaran oksigen dan karbon dioksida, kejadian malam dan siang yang silih berganti dan banyak lagi.
Namun, janganlah kita tidak sedar, segala bencana seperti tsunami, banjir besar, kemarau berpanjangan, dan bencana dahsyat yang lain menampakkan juga kekuasaan ALLAH, bermakna ALLAH berkuasa melakukan apa sahaja, dengan hanya kalimah Kun Fayakun.
Saya memetik Surah Al-Baqarah ayat 117:
Allah Pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendak (untuk menciptakan) sesuatu, maka (cukuplah) Dia hanya mengatakan kepadanya: “Jadilah!” Lalu jadilah ia.
Di bumi perancis ini, sedar atau tidak, kita bakal memasuki musim bunga. SubhanALLAH. Kitaran empat musim ini berlaku dalam kita sedar atau tidak.

Saya berjalan pulang ke rumah beberapa hari yang lepas, sedang asyik mata memandang bawah, saya terlihat kuntuman bunga kecil berwarna ungu. Ya ALLAH, cantiknya. Dan bila saya meneruskan jalan, ada juga kuntuman bunga yang serupa. Hati ini cukup gembira. Kerana memang saya sukakan benda-benda yang cantik lagi indah. Anda begitu jugakan? \(^^)/
Artikel ini asalnya memang saya tujukan khas kepada pelajar-pelajar yang baru sampai ke bumi perancis ini. Saya dapat bayangkan bagaimana perasaan anda melihat perubahan empat musim ini, kerana saya juga merasakan perkara yang sama sehingga hari ini.
Pertama kali melihat pokok keguguran daun, menjadikan pemandangan kelihatan kekuningan. Kemudian pertama kali pula melihat salji berguguran, habis putih seluruh bandar. Kemudia tidak lama lagi, melihat pula kuntuman bunga-bunga kecil yang tumbuh dengan semulajadinya tanpa siapa yang menanamnya.

Semua ini kekuasaan ALLAH. Sampaikan sehelai daun yang bakal gugur di tengah-tengah hutan, ALLAH tahu bila saat gugurnya daun itu. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui dari sebesar-besar perkara hingga sekecil-kecil perkara.
Sedikit persoalan, jadi masih mampukah kita menyorokkan apa yang terpendam dalam hati ini, luar dari pengetahuan ALLAH?
Sudah tentu tidak.
Maka, sama-samalah kita membetulkan niat dalam setiap perbuatan yang kita lakukan. Kerana kita hanya mendapat apa yang kita niatkan sahaja.
Demikian sahajalah sedikit dari pelangi_petang. Harapnya kita dapat sentiasa muhasabah diri kita ini. Jagalah hubungan dengan ALLAH baik-baik dan jagalah iman kita baik-baik juga. Jangan pernah kita berhenti berharap atas keredaan ALLAH. Salam kehijauan buat semua, wallahualam.

Sesungguhnya segala ciptaan Allah itu tidak sia-sia kn? Segala puji bagiNya. bagi mereke yang berfikir, pasti Allah akan memberkatinya…
Ali Imran (3) , ayat 191 dan 192
subhanAllah..Maha Besar kekuasaan Allah..
ana pun sudah tidak sabar lagi mahu melihat pokok pokok menghijau kembali..
sangat mengasyikkan mata..(^_^)
MashaAllah..Subhanallah, Maha Suci Allah=)