sayanakpergimasjid

Assalamualaikum. Satu fenomena biasa apabila tibanya Ramadhan, ibu bapa akan membawa anak ke masjid untuk bersama-sama beribadat. Di Malaysia, bolehlah kita katakan terdapat DUA golongan ibu bapa :

1. Yang meninggalkan anaknya di rumah.
2. Yang membawa anaknya ke masjid.

Hmm, yang mana rasanya yang lebih elok?


Saya tidaklah berniat untuk menulis panjang hal ini. Memandangkan pembaca blog ini lebih kepada remaja yang masih belum mempunyai anak. Tapi nak tanak, rasanya perlu saya sampaikan juga supaya generasi akan datang tidak melakukan kesilapan yang sama.

Bagi golongan pertama, mereka akan meninggalkan sahaja anak mereka bermain di rumah. Dan mereka sememangnya akan terganggu dengan ibu bapa yang membawa anak mereka ke masjid. Di dalam hati mereka mungkin terdetik,

Bising betullah budak-budak ni. Asyik main sana sini

Waa, annoying nya!

Tak selesanya! Wahai ibu bapa, kalau rasa kedatangan dengan membawa anak-anak tu menyusahkan orang lain, lebih baik duduk je kat rumah…

Sebagai orang dewasa, sepatutnya kita sudah sedia maklum yang kanak-kanak memang suka bermain dan hyperaktif. Peliknya, mengapa hati dan mulut kita berkata-kata seperti kita tidak faham akan fitrah kanak-kanak. HuHu.

Rasulullah adalah contoh terbaik untuk kita dalam hal ini. Baginda tidak pernah sama sekali menyuruh kanak-kanak supaya duduk sahaja di rumah bagi tidak mengganggu jemaah solat.

Dalam hadis riwayat Imam Muslim, menceritakan :

Suatu ketika Rasulullah saw. mendatangi kami bersama Umamah binti Abil Ash – anak Zainab, puteri Rasulullah saw.— Baginda meletakkannya di atas bahunya. Baginda kemudian solat dan ketika rukuk, baginda meletakkannya dan saat bangkit dari sujud, baginda mengangkat kembali.

Rasulullah s.a.w sendiri pernah “diganggu” oleh cucunya sendiri ketika solat. Namun Rasulullah tidak sama sekali mengharamkan cucunya mendekati orang yang sedang solat. Bahkan pada ketika itu, Rasulullah sedang mengimamkan solat Isyak!

Dipetik dari hadis riwayat An-Nasai :

Ketika waktu datang solat Isyak, Rasulullah saw datang sambil membawa Hasan dan Husin. Baginda kemudian maju (sebagai imam) dan meletakkan cucunya. Beliau kemudian takbir untuk solat. Ketika sujud, baginda pun memanjangkan sujudnya. Ayahku berkata, ‘Saya kemudian mengangkat kepalaku dan melihat anak kecil itu berada di atas punggung Rasulullah saw. yang sedang bersujud. Saya kemudian sujud kembali.’ Setelah selesai shalat, orang-orang pun berkata, ‘Wahai Rasulullah, saat sedang sujud di antara dua sujudmu tadi, engkau melakukannya sangat lama, sehingga kami mengira telah terjadi sebuah peristiwa besar, atau telah turun wahyu kepadamu.’ Baginda kemudian berkata, ‘Semua yang engkau katakan itu tidak terjadi, tapi cucuku sedang bersenang-senang denganku, dan aku tidak suka menghentikannya sampai dia menyelesaikan keinginannya.

Begitulah kata-kata Rasulullah setelah selesai solat. Tiada langsung kata-kata negatif yang keluar dari mulut baginda. Malah baginda meraikan fitrah Hasan dan Husin pada ketika itu.

Sebenarnya inilah yang dipanggil Tarbiyyatul Aulad (pendidikan anak-anak).

Kita perlu mendekatkan kanak-kanak dengan masjid. Isu membuat bising itu sebenarnya boleh dikawal sekiranya semua jemaah di masjid meraikan kanak-kanak yang hadir.

anak1Sempat main poket ayahnya. Takpe, budak-budak…

anak2Tamau rukuk ke dik? HeHe

Di France, boleh dikatakan setiap kanak-kanak yang datang ke masjid diraikan oleh orang dewasa. Dalam mulut sedang berzikir, orang dewasa di sini sempat bergurau dengan kanak-kanak yang datang. Dengan wajah yang manis, memeluk dan mencium kanak-kanak yang ada.

Ada juga ibu bapa yang saya lihat telah mula mengajar anak mereka mendirikan solat sunat rawatib setiap kali selepas solat fardhu berjemaah. Anak mereka patuh dan dengan gembiranya melakukan suruhan bapanya. Subhanallah!

Runtuhnya akhlak generasi sekarang adalah akibat jauhnya mereka dengan masjid. Sudahlah tidak dibawa ke masjid, ditinggalkan pula oleh bapanya tidak berpendidikan di rumah. Entah solat, entah tidak. Ayahnya hanya sibuk memikirkan ibadat dirinya sendiri di masjid dan langsung mengabaikan tanggungjawab mendidik anaknya di rumah.

Adalah sebuah bentuk kejahatan terhadap anak jika, ayah/ibu tenggelam dalam kesibukan, sehingga lupa mengajarkan anaknya cara solat. Meskipun kesibukan itu adalah mencari rezeki yang digunakan untuk menafkahi anak-anaknya. Jika ayah/ibu berlaku seperti ini, keduanya telah melanggar perintah Allah di surat Thaha ayat 132 :

Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.

Rasanya sudah jelas kepada kita bahawa kanak-kanak tidak perlu dihalang daripada turut ke dewan solat. Raikanlah mereka dengan memberikan salam, pelukan dan bergurau senda. Buatkanlah mereka gembira ketika berada di masjid. Ajarkan mereka solat dan adab-adab sewaktu di masjid.

Bisingnya mereka adalah disebabkan bisunya mulut dan tindakan kita memberi pendidikan kepada mereka. Mana mungkin seorang kanak-kanak yang jahil mampu mengetahui adab-adab di masjid sekiranya kita terlalu “tekun” beribadat sehingga mengabaikan tuntutan dakwah kita terhadap mereka.

Kesimpulannya, marilah kita mengajak anak, adik-adik kita ke masjid. Bimbinglah dan raikanlah mereka. Semoga melekatnya hati-hati mereka di masjid, akan membuatkan mereka istiqamah dengan islam sehingga akhir hayat mereka.