anaktanpaislam

“Ustaz, anak saya ni tak mahu dengar cakap saya. Saya merayu ustaz betulkan dia sewaktu program nanti…” kata seorang ibu yang menelefon rakan saya.

“Anak saya ni masalah dia satu je ustaz, pakwe keliling pinggang. Asyik nak bergayut (telefon) aje kerjanya. Bila ditegur mulalah tarik muka masam. Susahlah saya camni ustaz.”, kata seorang ibu kepada ‘the kids super model’.

“Assalamualaikum. Berapa saya perlu bayar untuk satu kepala?”, tanya seorang yang telah bergelar ayah.

“Setakat ini kami hanya caj RM200 untuk 4 hari 3 malam”, kata abang Nas yang selalu dipanggil ustaz oleh keluarga peserta kem motivasi untuk remaja itu.

Percutian musim panas yang lepas banyak saya habiskan untuk membantu rakan saya yang mengendalikan kem motivasi di kalangan remaja. Banyak pengalaman yang saya peroleh. Cerita-cerita pelik yang tidak pernah terlintas di fikiran saya juga turut kedengaran.

“Ish betul ke ni bang? Budak laki umur 16 tahun dah cabul kehormatan budak umur 5 tahun?” tanya saya kehairanan.

“Betul Min, abang dah buat kerja ni lama dah. Banyak budak-budak ngadu personally dekat abang kesalahan-kesalahan dia yang lalu. Depan-depan abang sendiri!”, abang Nas cuba meyakinkan saya.

Saya sendiri tidak dapat menerima setiap kata-kata abang Nas. Tambahnya lagi, pernah seorang budak perempuan berumur 17 tahun mengaku telah melacurkan diri semenjak dari umur 12 tahun lagi!

Astaghfirullah!

Lama saya terdiam memikirkan apa yang telah terjadi sebenarnya pada remaja Islam di Malaysia.

Dalam keadaan yang samar-samar tentang kesahihan ‘realiti’ tersebut, saya mengambil keputusan untuk meluangkan masa menyertai kem motivasi yang dianjurkan oleh abang Nas dan rakan-rakannya.

“Saya tak mahu jadi fasi ye bang. Biar saya jadi cameraman jelah sepanjang program,” awal-awal lagi saya mengelak dari mengendalikan sebarang aktiviti. Takut berjumpa dengan ‘realiti’. Bukan entiti ye. HuHu.

Bukan calang-calang orang yang menghantar anak mereka ke kem motivasi ini. Ada yang bergelar doktor, engineer dan berpangkat tinggi di kalangan masyarakat.

“Ni cucu pakcik, tengok-tengokkanlah dia ye,” seorang atuk berpesan kepada kami selepas menghantar cucunya.

Kagum saya dengan semangat mereka menghantar anak dan cucu masing-masing ke program ini. Berapa sahaja sanggup dibayar , asalkan sahaja ada perubahan pada diri anak-anak mereka.

RM200 untuk seorang bukan yang murah. Ada yang menghantar 3 orang anaknya sekaligus. RM600 ‘hangus’ untuk akhlak anaknya.

Ada yang datang dari Pahang, Terengganu, Kedah semata-mata untuk menghantar anak ke kem motivasi kami di Kuala Lumpur.

Selesai sahaja sesi pendaftaran, abang Nas dan rakan-rakan memperkenalkan kepada diri kepada adik-adik dan memberi sedikit taklimat. Dengan nada yang sangat mesra, adik-adik tersebut sangat selesa dengan mereka walaupun kelihatan masih malu-malu.

Tiba-tiba, abang Nas mengajukan satu soalan cepu emas…

“Siapa yang hisap rokok dan ada bawa rokok di sini. Boleh angkat tangan?”

Masih tiada yang ingin mengaku.

“Takpe. Mengaku je. Abang Nas tak marah. Abang Nas nak tahu je…” hebat ayat psycho abang Nas kali ini.

Saya yang sibuk menangkap gambar dari belakang peserta, mula nampak tangan-tangan perokok kecil dijulang ke atas. Adalah dalam 4, 5 orang dalam 40 orang. Semuanya lelaki.

“Hmm pas mal,” bisik saya seorang diri.

Nasib baik takde perokok perempuan. Kalau tidak, mungkin saya akan sakit kepala lagi memikirkan rasional tindakan budak itu merokok ketika masih kecil.

Selepas itu, kami solat bersama dan makan bersama. Dari tindakan dan wajah mereka, langsung tidak kelihatan yang mereka ini anak-anak yang bermasalah. Taat dan baik. Kebanyakannya masih kecil dan comel-comel seperti hamster.

“Hmm, sesi kali ini budak-budak baik kot yang datang,” saya cuba membuat kesimpulan sendiri dari pandangan luaran.

Malam itu saya pulang ke rumah. Saya tidak ingin mengganggu perjalanan program tersebut. Biarlah yang pakar yang melakukannya.

Kalau saya ada, mungkin akan mengganggu suasana program tersebut. Lagipun, melihat kepada peserta yang ada, rasanya tiada kes yang luar biasa yang menarik perhatian saya untuk tahu dengan lebih mendalam.

Hari terakhir, saya datang semula.

“Camne bang? Okay?” tanya saya pada abang Nas.

Abang Nas hanya diam sambil mengajukan isyarat supaya saya melihat sendiri keadaan peserta sendiri. Kebanyakan mereka kelihatan gembira. Namun, kelihatan juga ada yang sedih.

Program penutup berlangsung dalam suasana hiba. Maklumlah, perpisahan. Nangis-nangis budak-budak tu peluk abang Nas dan rakan-rakan. Saya pula sibuk merakam adegan-adegan sedih.

Kebanyakan antara mereka juga berlari mendapatkan ibu bapa masing-masing. Ibu bapa turut rasa terharu.

keibuaan

“Adik kenapa nangis ni?”, saya mendekati seorang peserta kecil dengan sedikit sifat keibuan yang ada dalam diri lelaki.

Budak itu tidak menjawab dan terus menangis. Rupa-rupanya keluarganya masih belum tiba. Saya tak mampu berbuat apa-apa melainkan duduk berdekatan dengannya sambil mengambil gambar. :D

Sesudah semua orang pulang, saya duduk bersembang dengan abang Nas yang kelihatan sangat penat.

“Boleh tahan juga budak kali ni,” abang Nas seakan-akan mengeluh dalam kepenatan.

Mata saya pula terpandang pada kertas-kertas yang ada. Antara yang sempat saya baca…

Perkara yang paling teruk saya lakukan ialah berci_m dengan makwe saya. Pada waktu itu mak ayah takde kat umah. Saya peluk dier sambil baring tengok tv sama-sama. Kami ponteng sekolah dan tengok astro di rumah. Heheheh. Abang Nas jangan btau sesape ye. Sekarang saya rasa menyesal dan tak nak buat lagi.Rafruddin, 10 tahun

Saya selalu mencuri duit mak saya sewaktu kecik. Waktu itu mak saya takde kat bilik. Paling banyak saya ambik ialah 200 ringgit. Bila mak tanye sapa ambik, saya cakap saya tak tau.Izdingha, 9 tahun

Karangan mereka penuh satu kertas A4. Penuh dengan pengakuan berani mati!

Cukuplah dua contoh pengakuan saya nyatakan di sini. Kalau saya nyatakan semua, nanti takut ada budak-budak di VLL ni baca dan nak cuba pula.

Semuanya perkara yang cukup memalukan! Tidak pernah terlintas di fikiran kita budak-budak masih belum bersekolah menengah sudah pandai melakukan perbuatan buruk seperti ini!

cartoon-man-headache

Itu baru melibatkan budakĀ  lelaki. Ada lagi kes yang melibatkan remaja perempuan yang dahsyat-dahsyat. Karangan yang mereka tulis sudah cukup menyakitkan kepala saya memikirkan realiti remaja Malaysia zaman sekarang.

Yang perempuannya lebih kepada masalah seks dan memberontak pada mak ayah.

Ini baru kes budak perempuan sekolah rendah! Sudah terlibat dengan segala yang bersangkut paut dengan seks? Yang sekolah menengah nya apa cerita pula?

Luarannya nampak okay. Tapi di sebaliknya, oh my god!

Sebelum balik, saya menghampiri seorang pakcik yang kelihatan agak tua sedang berborak dengan abang Mi, rakan abang Nas.

“Ustaz, kesian saya tengok dia ustaz. Saya ambil dia dalam keadaan….” pakcik tersebut hiba dan tak dapat meneruskan percakapannya.

Abang Mi hanya diam. Cuba menjadi good listener.

“…. baju dia koyak ustaz dari leher sampai ke pusat. Antara pakai dan tak je, ustaz. Bertompok-tompok hitam, kena cucuh dengan rokok. Kaki dan badannya banyak calar-calar. Bapak dia pukul dia hari-hari ustaz…”

“… saya tak sampai hati tengok dia, ustaz. Waktu saya ambik dia, dia diam je ustaz. Macam dah tak berperasaan. Dah trauma!”

“Saya cuba bela dia, ustaz. Tapi saya risau kalau saya dah takde lagi nanti, dia macamana, ustaz?”

Saya dan abang Mi tidak dapat berkata apa-apa. Masing-masing sedih mendengar pengakuan penjaga yang sudah berumur tersebut. Dari raut wajah memang sudah berusia 60an.

Menangis-nangis dia menceritakan nasib budak itu. Pertama kali saya tengok di depan mata aksi seakan-akan ‘Bersamamu TV3′.

Inilah realiti…

Apabila individu sudah jauh dari nilai Islam. Keluarga turut hancur. Anak-anak menjadi mangsa. Anak-anak yang tidak terdidik dengan nilai Islam akan mendirikan lagi keluarga yang turut hancur.

Hasilnya, masyarakat hancur secara istiqamah.

Lihat juga pada diri kita sendiri. Adakah kita produk dari didikan ibu bapa yang islamik ataupun tidak?

Atau apabila sudah besar, baru tersedar….

“…oh, jahiliyyah nya aku sebelum ini!”

Jujurnya, saya dididik dengan baik oleh mak ayah saya. Alhamdulillah keluarga saya adalah keluarga yang islamik.

Namun, masih banyak yang perlu diperbaiki. Masih terdapat kekurangan mereka pada hemat saya. Nilai Islam yang diterapkan harus menyeluruh. Bukan pada baca Quran setiap hari, solat 5 waktu tak tinggal, buat baik pada semua orang sahaja.

InsyaALLAH, kekurangan itu akan menjadi teladan buat diri saya.

Untuk anda yang telah sedar dan keluar dari jahiliyyah, saya ingin mengajak anda supaya turun ke dunia realiti. Alami dan berhadapan sendiri dengan masalah-masalah umat. InsyaALLAH banyak pengajaran dan pengalaman yang akan mematangkan kita.

Salah satu tempat untuk belajar ialah dengan menjadi sukarelawan dalam program-program motivasi remaja bermasalah.

Teori tidak banyak mengajar. Jika hanya dengar-dengar sahaja, impaknya tidaklah sangat berkesan. Alamilah sendiri, barulah menarik dan feel nya lain.

Kalau kita dengar orang bercerita tentang anak yatim dengan kita sendiri pergi ke rumah anak yatim, jauh bezanya.

Jadinya, cuti musim panas yang akan datang, rancanglah percutian anda untuk turun menghadapi dunia realiti. Alami dan berhadapan sendiri dengan masalah umat.

Akhir sekali pesan saya, jika anda sudah mendirikan rumahtangga nanti, didiklah anak dan isteri/suami anda dengan Islam yang syumul. Bukan Islam tradisi. Bukan Islam solat, puasa, zakat dan pergi haji setiap tahun sahaja.

Bentuklah keluarga Islam. Keluarga Ghuraba’. Strangers! Dalam bahasa Melayunya, makhluk asing! Ha Ha Ha.